Feeds:
Posts
Comments

Archive for the ‘Aqidah’ Category

Belajar Untuk Redha


Bismillah..

 

Tidak ada yang lebih seorang manusia harapkan melainkan kesenangan hidup tika di dunia. Melihat orang lain hidup bermewah, rumah bertingkat-tingkat, kereta berbiji-biji, pasti ada hati-hati yang merasa kecewa dan cemburu. Sungguh, begitulah sifat hati seorang hamba yang tidak meletakkan Allah sebagai sebaik-baik pengatur. Siapa tahu yang kaya itu tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimilikinya. Siapa tahu yang hidup mewah itu tidak pernah lena dimalamnya memikirkan harta-hartanya. Siapa tahu yang berharta itu tidak pernah merasa bahagia dengan apa yang dia miliki.

 

Justeru, ketuklah kembali hatimu. Untuk apa kamu merasa dengki. Untuk apa kamu merasa cemburu. Sedangkan kamu tidak pernah berada di kasut mereka. Bersyukurlah. Bersyukur dengan apa yang kamu ada. Allah tidak zalim sahabat. Allah hidupkan kita dalam keadaan yang sedikit kurang berbanding yang lebih mewah bukan kerana Allah menzalimi hidup kita, tapi kerana Dia tahu kita cukup dengan sekadar itu. Dia tahu apa keperluan kita. Dia tahu bagaimana kita menggunakan nikmat kurniaanNya. Dan Dia tahu bila saatnya kita memerlukan semua itu.

 

Sedangkan sifat iri hati dan dengki sangat ditegah Islam. Manusia yang mempunyai sifat ini biasanya mereka yang tidak redha dengan segala ketentuan dan kurniaan Allah yang diberikan kepadanya. Sehingga mungkin sampai suatu saat, mereka sanggup menyalahkan takdir, lagi menyedihkan andai mereka sanggup memaki hamun qadha’ dan qadar Allah. Allah menemplak manusia yang mempunyai sifat ini melalui firmanNya yang bermaksud, “Adakah patut mereka dengki kepada manusia atas nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya?” (QS An-Nisa’ : 54).

 

Penyakit hati ini sangat berkait rapat dengan iman dan aqidah sebagai orang Islam. Lalu bagaimana cara untuk mengatasinya? Kuncinya hanyalah taqwa dan sabar. Iman itu kunci terbesar dalam apa jua keaadan sekalipun. Didiklah hati jauh daripada hasad dan cemburu. Letakkan Allah di hadapan dalam semua perkara. Jangan kerana adanya sifat-sifat ini, manusia sanggup berbunuh-bunuhan. Jangan kerana harta manusia sanggup jatuh-menjatuhkan, sihir-menyihir. Amat jauh dari apa yang Islam gariskan. Kembalilah semula kepada acuan Allah.

 

Berdoalah kepada Allah supaya kita merasa cukup dengan apa yang kita miliki. Merasa lebih dengan apa yang Dia beri. Jangan menjadi hamba yang seringkali tidak bersyukur atas apa yang telah kita perolehi. Jangan kerana merasakan hidup kita terlalu sulit lalu mencari alasan untuk menyalahkan sesiapa.

 

Dalam Islam, Allah dan RasulNya telahpun menggariskan panduan berkenaan rezeki, antaranya :

 

1. Taqwa.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan jalan keluar baginya. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya,” (QS ath-Thalaq : 2-3)

 

2. Tawakkal

Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

 

3. Istighfar.

“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai” (QS Nuh : 10-12).

“Barangsiapa memperbanyak istighfar (mohon ampun kepada Allah), niscaya Allah menjadikan untuk setiap kesedihannya jalan keluar dan untuk setiap kesempitannya kelapangan, dan Allah akan memberinya rezeki (yang halal) dari arah yang tiada disangka-sangka,” (HR Ahmad, Abu Dawud, an-Nasai, Ibnu Majah dan al-Hakim).

 

4. Silaturahim.

Imam Bukhari meriwayatkan bahwa Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang senang untuk dilapangkan rezekinya dan diakhirkan ajalnya (dipanjangkan umurnya), hendaknyalah ia menyambung (tali) silaturahim.”

 

5. Sedekah.

Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

 

6. Melakukan kebaikan.

Nabi bersabda : Sesungguhnya Allah tidak akan zalim kepada hambanya yang berbuat kebaikan. Dia akan dibalas dengan diberi rezeki di dunia dan akan dibalas dengan pahala di akhirat. (HR. Ahmad)

 

7. Bersyukur.

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (QS Ibrahim : 7)

 

******935874_492041920884452_1825898755_n

 

Sama-sama kita menjaga hati daripada sifat tidak redha dengan Allah. Siapa kita untuk merasakan kita layak untuk itu dan ini. Sedangkan Allah Maha Tahu apa yang tidak kita ketahui. Berlumba-lumbalah dalam memburu kebaikan. Berlari dan terus berlari sehingga kedua-dua kakimu mampu berpijak di pintu Syurga. ^_^

Advertisements

Read Full Post »

%d bloggers like this: